KUALA LUMPUR: Menghalang laluan, menyesakkan trafik, kotor, dan mencacatkan pemandangan, menjadi antara keluhan masyarakat mengenai situasi penjaja yang berniaga di lokasi tidak sesuai, termasuk di laluan pejalan kaki dan petak parkir sekitar ibu negara.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi seperti di Sentul, Setiawangsa, di sini, mendapati, aktiviti penjaja seumpama itu bukan sahaja menyebabkan kesesakan lalu lintas, malah mengganggu kemudahan awam termasuk perhentian bas.

Pekerja swasta Nurul Syahirah Muhamad, 20, berkata, keberadaan khemah penjaja dan kereta pelanggan diletakkan di tepi jalan menghalang bas untuk berhenti di perhentian disediakan, memaksa penumpang berjalan kaki lebih jauh untuk menaiki kenderaan tersebut.

"Ini menyebabkan keadaan tidak selesa kepada kami yang menaiki pengangkutan awam kerana terpaksa berjalan jauh, selain berisiko dirempuh kenderaan lain terutamanya motosikal," kata penduduk Sentul itu.

Penduduk di Taman Setiawangsa di sini Muhammad Farid Abdul Wahab, 31, berkata, tindakan peniaga yang gemar berniaga di kawasan pejalan kaki, turut mengundang pelbagai masalah lain seperti pencemaran bau.

Muhammad Farid berkata, kecenderungan sesetengah peniaga membuang minyak masak terpakai ke dalam longkang berhampiran, menyebabkan air longkang bertakung dan berbau busuk, sekali gus mengundang risiko berlakunya pembiakan nyamuk Aedes, yang boleh menyebabkan demam denggi dan penyakit lain.

"Selain itu, kawasan pejalan kaki berubah menjadi kotor kesan dari dapur dan minyak masak, yang tentunya akan menambah kos untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membaik pulih kawasan penjalan kaki berkenaan," katanya yang turut meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk bersikap lebih tegas.

Lee Xi Yee, 25, pula berpandangan, operasi gerai di tepi jalan yang mengganggu kemudahan awam, turut memberi kesan kepada imej Kuala Lumpur sebagai ibu negara, sekali gus memberi perspektif buruk kepada pelancong.

"Situasi ini memberi gambaran mentaliti negara kelas ketiga, sepatutnya kita makin maju ke depan," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Fakulti Alam Bina dan Ukur Universiti Teknologi Malaysia, Dr S Gobi Krishna berkata, salah guna ruang pejalan kaki, bukan sahaja menyusahkan pengguna terutama orang kurang upaya (OKU), malah mengancam keselamatan susulan perlu menggunakan jalan raya yang digunakan kenderaan.

"Walaupun masyarakat menerima baik usaha ini, kerana mereka mempunyai pilihan membeli makanan dengan kadar segera dan harga berpatutan, tetapi ia mengganggu-gugat kelancaran pergerakan kenderaan di kawasan tersebut, terutamanya di waktu puncak sekitar jam 5 petang hingga 7 petang," katanya kepada Bernama.

Gobi Krishna berkata, antara kawasan yang dilihat mengalami situasi itu ialah di Desa Pandan, Jalan Raja Muda Musa, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Wangsa Maju, serta sekitar Brickfields.

Beliau berpandangan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga yang dilihat menjadi antara penyumbang dan 'membuka ruang' kepada 'kebebasan' itu juga, perlu harus dikawal dengan lebih terancang dengan pemantauan lebih berkesan.

"Pada mulanya ia inisiatif yang bagus untuk membantu aspek ekonomi rakyat yang banyak terjejas akibat COVID-19, tapi situasi ketika itu pelaksanaan bekerja dari rumah dan Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan jumlah trafik yang rendah.

"Namun, pada situasi sekarang, pelaksanaan itu saya kira sudah kurang sesuai, perancangan yang lebih teliti perlu dibuat, mungkin ia membantu dari segi aspek ekonomi tetapi menimbulkan pelbagai isu sosial yang lain," katanya.

Gobi Krishna berkata, pelaksanaan inisiatif itu haruslah dikawal dengan lebih berkesan dan terancang dan pihak berkuasa seharusnya mengenal pasti lokasi termasuk tidak melibatkan jalan utama yang sesak bagi memastikan kelancaran trafik termasuk mengganggu pergerakkan ambulans atau bomba pada waktu kecemasan.

Beliau mencadangkan agar prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas digariskan selain keseragaman khemah bagi memudahkan semua pihak mengenal pasti penjaja yang berniaga dengan kebenaran dan mendapat lesen perniagaan. - BERNAMA